Apa salah mereka?

[Petikan dari cerpen Zaman Merdeka yang ditulis oleh Arwah ayah saya, Allahyarham Zain Mahmood]

"Mengapa saya patut menentang mereka? Mereka bina jalanraya untuk kita ... mereka bina bangunan tinggi untuk kita .. mereka bina bandar ...kita diberi cukup makan .. cukup minum ... mereka lindung kita dari orang asing ... mengapa saya patut menentang mereka? Saya sepatutnnya setia dan berterimakasih kepada mereka!

Tapi sebab kita ini terlalu bergantung di bawah ketiak merekalah sampai kita dah jadi begini. Tak ubah macam burung di dalam sangkar, leka dengan kesenangan. Makan diberi tiap hari. Minum diberi. Tiba-tiba bila masa tiba nak terbang, sayap kita kaku.

Bukan saya kata mereka itu salah. Apa yang mereka lakukan sekarang tidak salah ... kerana itu memang kerja mereka. Macam cerita ular dengan katak. Sebelum ditelan ular, dia tanya 'Ular, mengapa kamu makan saya?' Jawab ular 'Memang kamu makanan kami'.

Yang salahnya adalah kita ... kerana kita yang bodoh dan leka selama ini dan telah membenarkan keadaan kita jadi sebegini. Dan hanya rakyat saja yang mesti membetulkan kesilapan kita sendiri dan menentang tipu muslihat penjajah Orang Putih. Tapi kita tidak boleh menggunakan tipu muslihat. Kita tidak boleh menggunakan api untuk menentang api. Tapi kita boleh menggunankan api semangat keadilan dan kemerdekaan yang membara dalam kita, dan api itu akan membakar hangus penjajahan dan penindasan."

Back to Diary