| Oleh: DR. RAIS YATIM
INTERNET sebagai satu-satunya media pantas elektronik
di alam siber sudah bertapak dalam kehidupan harian kita. Peranannya yang
menyalur dan memaparkan maklumat teks bergambar dan berbunyi sudah menjadi
kebiasaan di Malaysia sekali pun sebahagian besar anggota masyarakat di
luar bandar masih belum lagi berpeluang menggunakan media ini.
Ada unjuran yang meramalkan, pada akhir tahun ini bilangan
pelanggan Jaring, TM.net dan lain-lain pembekal jaringan Internet (ISP)
akan melebihi 400,000..
Sementara media cetak dan televisyen tertakluk kepada
beberapa kawalan dan penapisan di bawah kuat kuasa pentadbiran dan undang-undang
negara, Internet begitu bebas dan berleluasa sebagai penyalur maklumat..
Internet telah dibenarkan berfungsi tanpa penapisan kecuali
jika tercebur dengan bahan-bahan lucah. Piagam penubuhan Koridor Raya Multimedia
(MSC), misalnya membuat komitmen bahawa tiada penapisan dikenakan kepada
perkhidmatan Internet di Malaysia..
Kepada pihak yang berselera tajam untuk menyalur idea
masing-masing keadaan ini adalah seperti pucuk dicita ulam mendatang..
Dengan latar belakang inilah dunia Internet berkembang
di Malaysia, khususnya semenjak media itu dipopularkan oleh kerajaan menerusi
dasar teknologi informasinya (TI) dan percambahan komputer persendirian
(PC)..
Walaupun Internet dan komputer merupakan legasi dari Barat,
ia telah diterima pakai sebagai alat budaya perhubungan seluruh dunia..
Menurut Pertubuhan Internet (Internet Society), yang beribu
pejabat di Amerika Syarikat, komunikasi melalui mel elektronik (e-mail),
misalnya, sudah banyak membantutkan perhubungan menerusi surat-menyurat
biasa..
Tanda-tanda penggunaan Internet mengambil alih peranan
media cetak sudah bermula. Melalui perbualan siber (cyber talk), e-mel
dan pelbagai rancangan 'online' masyarakat sudah boleh mencetuskan idea
tanpa kertas..
Menerusi Internet sajian Jaring di bawah Mimos, akhbar-akhbar
tempatan juga dapat dibaca bersekali dengan sajian gambar yang sering diistilahkan
sebagai grafik. Kesemua ini boleh dipindahkan dengan sekelip mata kepada
bentuk media cetak untuk edaran. Dalam suasana inilah pihak-pihak tertentu
melepaskan pelbagai kritikan terhadap kerajaan dan pemimpin-pemimpin tertentu..
Menerusi halaman Internet (website) seperti ''Sangkancil'',
''soc.culture.Malaysia.'', ''Berita Reformasi'', ''Harakah'', ''Bala Pillai'',
''Power Slave'' dan beberapa alamat media siber yang lain seseorang pengguna
Internet dapat membaca pelbagai tulisan, berita dan ulasan..
Sebilangan besar penulis Internet menggunakan media itu
untuk mengkritik dasar-dasar kerajaan. Sabri Zain, MGG Pillai, Bala Pillai,
dan beberapa orang lagi merupakan penulis-penulis siber tempatan yang cukup
sibuk mempertikaikan pihak berkuasa (establishment). Pembaca ruangan mereka
ini tampaknya kian lama kian bertambah..
Satu halaman baru Internet yang dipanggil ''Rope'' mensajikan
pelbagai pendapat tentang agama Islam yang kebanyakannya mempertikaikan
mazhab, akidah dan para pemimpin Islam. Akhbar Harakah yang mendakwa edarannya
kini melebihi 300,000 naskhah sekali keluaran mendapat tumpuan yang kian
meningkat melalui jendela Internet. Dengan versi dwibahasanya penerbitan
politik ini juga dapat menarik pembaca berbahasa Inggeris..
Boleh dikatakan 78% daripada penulisan yang terdapat melalui
alamat-alamat Internet di atas bersifat antikerajaan, antipemimpin dan
secara amnya antisistem pemerintahan yang ada..
Menerusi ''Rope'' dimuatkan sajian-sajian ilmiah keagamaan
dan tidak kurang pula yang memutarbelitkan kesahihan hadis dan rukun Islam.
Keadaannya merunsingkan..
Dalam tempoh satu minggu tidak kurang 200 ke-300 pojok
yang disebarkan melalui Internet tempatan yang rata-rata bersifat sinis
dan kritis..
Menerusi ''Berita Reformasi'' pula akan tersua ulasan
dan pendapat yang khusus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perjuangan
ke arah ''perubahan''..
Bahasa yang diguna di dalam ''sajian-sajian'' internet
tempatan ini kerap menyentuh peribadi para pemimpin atau pihak-pihak berkuasa
tertentu. Paling sinis dan tajam ialah tulisan-tulisan yang disebarkan
melalui sudut ''Sangkancil'' termasuk halaman-halaman Sabri Zain dan kumpulan-kumpulan
pro-reformasi..
Parti-parti pembangkang seperti DAP dan PRM juga menampilkan
diri mengikut musim dan isu. Parti-parti kerajaan atau agensi-agensi yang
bertanggungjawab tampaknya belum berminat menggunakan Internet sebagai
media perjuangan..
Ada dua pendapat terhadap penulisan dan kritikan pihak-pihak
yang disebutkan di atas. Pendapat pertama menganjurkan tidak perlu diambil
tindak balas apa-apa kerana memang sudah dijamin oleh kerajaan semenjak
piagam MSC lagi bahawa Internet tidak akan dikenakan sekatan atau tapisan
kecuali sesuatu edaran itu bersifat lucah dan kotor dari segi moral atau
mencabul keselamatan negara..
Pendirian sebegini memang tidak dipertikaikan kerana memang
itulah jaminan yang diberikan oleh kerajaan melalui kuat kuasa undang-undang
komunikasi siber..
Tetapi apabila didapati hampir tiada langsung penangkisan
atau serang balas dari pihak-pihak berkuasa atau parti pemerintah, timbul
gambaran seolah-olah apa yang dipertikaikan mereka itu semacam benar..
Pendapat kedua ialah parti dan kerajaan tidak perlu mengambil
apa-apa tindakan berbentuk reaktif atau proaktif lantaran media-media tertentu
sentiasa sedia mensajikan dasar dan suara kerajaan. Pandangan ini biasanya
bersekali dengan akuan bahawa kuasa sentiasa ada dalam tangan justeru tidak
perlu susah payah menggunakan Internet untuk menjana perjuangan..
Pendirian begini bahaya kerana lama-kelamaan pembaca Internet
akan berlipat ganda memandangkan bahan-bahannya lebih sensasi, sensitif
dan tiada didapati dalam akhbar biasa..
Lagipun, membaca bahan-bahan di Internet lebih bersifat
interaktif, personal dan memberi peluang meluahkan perasaan yang pada umumnya
dianggap agak ''terkongkong'' selama ini..
Yang perlu diambil berat ialah jika sebahagian sebaran
program Internet melalui Jaring itu berupa tohmah dan propaganda yang tidak
dicanggahi melalui tindak balas intelek maka akan sampai masanya sebahagian
besar pengguna Internet akan beranggapan bahawa segala yang dipropagandakan
oleh pihak yang bertentangan itu benar..
Nanti akan timbul imbasan minda bahawa yang betul pengkritik
dan yang salah pihak berkuasa. Seterusnya, berkemungkinan nanti lebih ramai
pihak yang akan 'melayari' Internet untuk mendapatkan bahan-bahan sensasi
politik dan sosial yang biasanya tidak diperolehi melalui media cetak biasa..
Beberapa bulan lalu kedengaran suara yang menampilkan
azam untuk bertindak balas terhadap serangan-serangan siber itu..
Setakat ini hasilnya belum tampak..
Sebaliknya, melalui akhbar Pas - Harakah, misalnya, UMNO
dan kerajaan telah banyak dipersalahkan susulan beberapa isu, khususnya
yang berkaitan negara Islam, ekonomi, undang-undang, keadilan dan kes Datuk
Seri Anwar Ibrahim..
Parti itu menampilkan pandangan-pandangan yang mereka
kategorikan sebagai luahan para intelek Pas. Dari UMNO belum banyak diperolehi
balasan terhadap 'serangan-serangan politik' itu. Pendapat bahawa kononnya
tidak perlu disediakan reaksi intelek terhadap serangan-serangan itu harus
dilihat sebagai tidak membina dan tidak membantu UMNO dan kerajaan..
Jika tukang caci menggunakan Internet, ayuh UMNO pun mesti
berkemampuan menggunakan Internet sepenuhnya bagi mencuci daki-daki cacian
itu, lebih-lebih lagi kerajaan UMNO yang melahirkan Internet dan dasar
terbuka TI..
Lebih baik, UMNO harus menggunakan media baru ini secara
proaktif dan tidak sebaliknya. Sesungguhnya, sekali-sekala bercermin diri
untuk memperkuat dan melengkapkan diri tidak merugikan..
Memang merupakan satu fenomena bahawa pemerintah atau
kerajaan sentiasa menerima kritikan dan umpatan..
Tetapi bila kedua-dua perbuatan itu meningkat menjadi
pemutar pemikiran sebahagian besar rakyat dan seterusnya menjadi pengalah
kepada yang benar, sesuatu yang berkesan perlu dilakukan. Bukan dengan
kekerasan atau keangkuhan tetapi dengan daya fikir dan daya intelek yang
rasional..
Dalam proses itu mungkin terdapat sesuatu kelemahan. Salah
satu kelemahan yang diduga ialah jika UMNO atau kerajaan sentiasa bersifat
reaktif dan tidak proaktif maka akan kedapatan situasi yang boleh dianggap
mengalah. Inilah yang sering dimengertikan sebagai amalan perjuangan yang
negatif..
Perjuangan yang sentiasa bersandar kepada kuasa akhirnya
akan ditelan oleh kemaraan dan penerimaan idea serta nilai-nilai baru.
Ini adalah kerana usaha membina negara dan bangsa bukan milik sesuatu pihak.
Ia merupakan hak semua individu dan kumpulan..
Dalam konteks inilah perlu diterima falsafah ''menyerang
adalah bentuk pertahanan yang paling berkesan.'' Anjuran ini bukan bererti
menyerang membabi buta tetapi dengan menyelitkan perjuangan yang berupaya
diterjemahkan kepada perkongsian faedah dan kuasa..
Pada masa ini serangan dari penentang-penentang kerajaan
tampak telah mula menerima dividen politiknya sekali pun semua ini akan
ditentukan melalui pilihan raya apabila Barisan Nasional dijangka bangkit
secara besar-besaran..
Apakah dividen-dividen ini? Pertama, kelarisan media cetak
yang dikendalikan oleh pembangkang amat ketara. Ini bermakna pemikiran
atau idea-idea pembentukan kuasa baru melalui politik sudah lebih meluas
daripada tahap biasa..
Kedua, dengan kemudahan dan percambahan Internet, apa
yang tidak dapat dibaca di dada akhbar harian sudah boleh dibaca dan dirasionalkan
melalui media baru ini..
Soalnya, kenapakah kemudahan yang disalurkan oleh UMNO
dan kerajaan ini lebih memberi faedah kepada pembangkang dan tidak sebaliknya??
Ketiga, perhitungan dan persepsi sesetengah pihak terhadap
undang-undang dan keluhurannya sudah mula berubah sehingga ada yang beranggapan
bahawa ia merupakan komoditi yang layak diperlecehkan..
Pepatah lama mengingatkan kita: Sekilat ikan di air, sudah
tahu jantan betinanya. Kilat beliung ke kaki, kilat cermin ke muka. Dari
tanda-tanda dan isyarat yang ada, parti dan kerajaan menghadapi cabaran
yang paling hebat semenjak tahun 1969..
Dari isu negara Islam hinggalah ke isu bekas Timbalan
Perdana Menteri yang didakwa di mahkamah seterusnya kemelesetan ekonomi,
sikap mempertahankan diri di sebalik kuasa semata-mata mungkin tidak akan
berkesan sepenuhnya. Dirasakan, pilihan raya akan datang paling sengit
dan paling menguji..
Sebelum api naik ke bumbung, lekas-lekaslah dipadamkan.
Apakah dalam semua hal perlu menunggu Perdana Menteri menjelajah ke seluruh
negara baru hendak bertindak? Pasukan-pasukan yang dikatakan hendak 'turun
padang' hendaknya bersiaga dan bergegas sebaik sahaja urusan pilihan raya
di Sabah selesai pada tanggal 13 Mac akan datang.
|